30 Oktober 2011

Pandangan Hidup Muslim

Kali pertama saya melihat tajuk ini terus tertawan lantas saya berhasrat untuk memilikinya. Judulnya nampak biasa sahaja tetapi bagi saya ia membawa erti yang tersirat.
Buku ini ditulis oleh Prof Dr Hamka, seorang pendakwah terkenal di Indonesia.Beliau juga dikenali sebagai Buya Hamka. Nama sebenar beliau ialah Dr Haji Abd Malik Karim Amrullah.

Buku ini berharga RM26 sebuah terbitan Pustaka Dini Sdn Bhd. Saya dapatkannya di Kedai Buku Kinokuniya,KLCC. Ia merupakan kumpulan daripada tulisan-tulisan Allahyarham dalam majalah Panji Masyarakat yang diterbitkan sekitar tahun 1959-1960 ditambah pula dengan makalah-makalah dari tulisan beliau yang lain.

Saya baru berkesempatan membacanya setelah sekian lama tersusun rapi di almari buku saya. Tajuk pertama yang saya baca ialah mengenai amalan istiqamah iaitu melakukan sesuatu pekerjaan secara berterusan. Berikut ialah tajuk kecil bagi tajuk ini:

* Pangkalan tempat berlabuh, pelabuhan tempat bersauh
* Dia ada dalam hati sanubari setiap manusia yang berakal
* Tauhid, tunggak kepercayaan

Secara kesimpulannya, dalam tajuk yang pertama ini, beliau mahu menanamkan kepercayaan akidah yang jitu terhadap Tuhan Yang Maha Esa. Asas inilah yang menjamin kebahagiaan seseorang muslim di dunia dan di akhirat. Kepatuhan kepada Allah Yang Maha Esa membolehkan muslim itu bertindak di dalam lingkungan yang betul. Seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah yang dikenali dengan gelaran Abu Amrah meminta fatwa daripada Rasulullah tentang pendirian dalam hidup. Lalu baginda bersabda, "KATAKANLAH! AKU BERPEGANG TEGUH KEPADA ALLAH, KEMUDIAN PEGANG TEGUHLAH PENDIRIAN ITU!". Pendirian yang dimaksudkan itu ialah keimanan kepada Allah SWT tanpa berbelah bahagi dalam setiap keadaan. Semoga kita sentiasa memperbaharui niat pada setiap hari iaitu untuk istiqamah di jalan Allah sehingga ke akhir hayat. Amin.